Lebih 660,000 pelanggan Sabah terima rebat elektrik 2.5 peratus 

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd akan mengagihkan rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada 661,774 pelanggan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan jumlah keseluruhan RM10.4 juta bermula Januari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, rebat tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna secara berperingkat.

Beliau berkata, pemberian rebat itu dibuat selaras dengan peruntukan Electricity Supply Enactment 2024 dan Licensee Supply Regulations 2024 yang mewajibkan pembayaran faedah ke atas deposit tunai pelanggan setiap tahun.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha Sabah Electricity untuk menyeimbangkan kelestarian kewangan syarikat dengan kebajikan pengguna, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Menurutnya, wang cagaran pengguna adalah bersamaan dua bulan purata penggunaan bil elektrik bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

Katanya, lebihan wang cagaran boleh dipulangkan kepada pengguna sekiranya penggunaan menurun, tertakluk kepada permohonan.

Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi rasmi syarikat bagi memantau penggunaan elektrik serta mengurus perbelanjaan dengan lebih cekap.