KOTA KINABALU: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak menjadi isyarat jelas bahawa penyatuan politik dalam Kerajaan Perpaduan Sabah semakin kukuh dan diterima rakyat.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO dalam memperkukuh kestabilan politik negeri.
Menurut beliau, formula kerjasama politik itu bukan sahaja berkesan dalam menghadapi pilihan raya kecil.
“Malah ia menjadi asas penting sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka berlangsung dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun lagi.
“Kemenangan ini adalah hasil gabungan kekuatan jentera parti, sokongan padu akar umbi serta keupayaan calon yang diketengahkan kepada rakyat.
“Faktor legasi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menjadi pemangkin utama kepada sokongan pengundi di kawasan terbabit,” katanya kepada Sabah News Today di sini semalam.
Beliau merupakan berkata, kejayaan itu seharusnya dijadikan titik tolak untuk memperkukuh lagi kesepaduan politik dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan agar tidak lagi berlaku perpecahan yang boleh melemahkan keyakinan rakyat.
“Selepas ini, semua pihak perlu mengelakkan perbalahan sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada agenda penyatuan demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan,” katanya.
Anil turut menegaskan bahawa soal agihan kerusi perlu dibincangkan secara matang dan strategik dengan mengambil kira kekuatan sebenar parti di peringkat akar umbi serta rekod perkhidmatan kepada rakyat.
“Agihan kerusi tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa atau bersandarkan rundingan semata-mata, sebaliknya perlu berdasarkan kekuatan parti yang mempunyai sokongan jelas di lapangan,” katanya.
Beliau menambah, kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, perlu terus dijadikan tunjang utama dalam memastikan Kerajaan Perpaduan Sabah kekal stabil dan diyakini rakyat menjelang PRU akan datang.
Menurutnya, kestabilan politik amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
