PUTATAN : Golongan wanita perlu menguasai ilmu bidang perniagaan sekali gus memiliki kemahiran serta mengetahui potensi bantuan yang ditawarkan pihak kerajaan serta badan lain di negeri ini.
Ketua Umno Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, jabatan dan agensi kerajaan khususnya menawarkan pelbagai program berkaitan bimbingan serta bantuan kewangan dalam bidang perniagaan.

Katanya, golongan wanita perlu mengenalpasti dengan menyasarkan jenis-jenis perniagaan yang dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan perniagaan mereka.
“Setiap tahun kerajaan memperuntukkan dana yang sangat besar kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, oleh itu mereka (Wanita) perlu merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Kursus Pengendalian makanan anjuran Wanita Umno Bahagian Putatan dengan kerjasama FB Training Academy, di sini semalam.
Jeffrey Nor merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah berkata, Ketika ini beberapa agensi kerajaan bersedia memberikan Latihan kemahiran untuk jangka pendek dan jangka Panjang.
“Mereka juga menyediakan dana pinjaman bagi individu yang berkelayakan termasuk Amanah Ikthiar Malaysia (AIM), Mara, Jabatan Pertanian dan sebagainya.
“Kita sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang ingin bekerjasama untuk menganjurkan sebarang program melibatkan bidang perniagaan khususnya golongan wanita agar golongan ini dapat diperkasakan di kawasan ini,” jelals Jeffrey Nor.
Menurutnya, perniagaan atas talian, e-dagang sebagai platform terbaik untuk membina kerjaya, selaras dengan peningkatan penggunaan internet dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.
“E-dagang merupakan punca ekonomi memberangsangkan terutama dalam kalangan belia dan wanita yang menjadikan media sosial seperti Facebook, Tik-Tok dan Instagram sebagai medan jual beli secara aktif perniagaan mereka,” tambah Jeffrey Nor.