KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berkemungkinan akan melakukan catuan bekalan tenaga elektrik kepada pengguna di negeri ini sekiranya permintaan terus meningkat sehingga melebihi kapasiti ‘reserve margin’ ketika cuaca panas melanda kini.
Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata permintaan terhadap tenaga elektrik yang meningkat melebihi kapasiti, iaitu pada paras 12 peratus ke bawah, boleh memberi tekanan terhadap kestabilan sistem grid.
“Keadaan cuaca yang begitu panas menyebabkan permintaan terhadap tenaga elektrik ketika ini semakin meningkat.
“Jika permintaan semakin meningkat sehingga melebihi kapasiti ‘reserve margin’ yang ada, iaitu pada paras bawah 12 peratus, catuan bekalan mungkin akan terpaksa dilakukan oleh SESB,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, SESB sedang melaksanakan kerja kecemasan membaiki dua menara penghantaran tenaga elektrik di Kampung Nabutan dan Randagong, Ranau, yang dikesan mengalami kerosakan kritikal ketika kerja pemeriksaan dijalankan pada penghujung tahun lalu.
“Sungguhpun kerja kecemasan menggantikan menara sudah dilakukan serta merta, mendapan serta pergerakan tanah yang aktif di sekitar tapak menara talian penghantaran itu menjejaskan kestabilan struktur utama menara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan risiko menara terbabit tumbang jika langkah awal menanganinya tidak dilaksanakan segera.