Wanita maut tertimbus tanah runtuh selepas bersahur

KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan maut tertimbus bersama rumahnya selepas selesai bersahur dalam insiden tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.00 pagi itu kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa berumur 53 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus tanah runtuh yang meranapkan rumah mereka.

“Pasukan Bomba bersama 11 anggota dan pegawai bomba tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku hakisan tanah runtuh.

“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang iaitu wanita dipercayai tertimbus sekali gus  berjaya dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ordine berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Sehingga kini kerja-kerja pemantauan di lokasi masih giat dijalankan manakala sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelas Ordine.