KUDAT : Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, memulakan program Shopping Raya sempena Jelajah Iftar 2025, dengan Kudat sebagai stesen pertama.
Pada petang ini, seramai 50 kanak-kanak dibawa membeli pakaian raya di Pekan Kudat. Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli baju dan kasut raya. Secara keseluruhan, seramai 850 kanak-kanak di seluruh Sabah akan menerima manfaat daripada program ini.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, menyatakan bahawa program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
Beliau berharap inisiatif ini dapat membawa keriangan kepada kanak-kanak serta membantu meringankan beban keluarga mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Program ini turut disertai oleh ADUN Tanjong Kapor Datuk Ben Chong dan isteri, Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin, Ketua Wanita Parti GRS bahagian Darau Datuk Aziah Atoh, pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan tempatan, serta wakil daripada KTC dan UPPM.
Mengenai Kim Teck Cheong: KTC ialah pengedar terkemuka dan menyediakan penyelesaian FMCG (Fast Moving Consumer Goods) di Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1938, KTC yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah, terus komited dalam membekalkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pengedaran yang cekap kepada masyarakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, sila layari https://kimteckcheong.com/ atau ikuti laman Facebook: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad.