Wanita Gagasan Rakyat catat seramai 55,000 ahli, lepas sasaran ditetapkan pucuk pimpinan – Redonah

KOTA KINABALU : Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), kini mencatatkan seramai 55, 000 orang keahlian baharu sejak dilancarkan penubuhannya Mac lalu.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, sasaran sekitar 30,000 keahlian sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa wanita pelbagai kaum menyertai Gagasan Rakyat di negeri ini.

Katanya, jumlah ini dijangka akan terus meningkat secara mendadak lagi selepas semua 73 bahagian selesai mengadakan mesyuarat pada 15 Oktober lalu.

“Jumlah ini merupakan sesuatu yang diluar jangka…Sasaran peringkat awal hanya sekitar 30, 000 ahli namun melonjak kepada 55,000 orang menunjukkan keyakinan wanita kepada Gagasan Rakyat.

“Antara faktor penyumbang kepada statistik ini iaitu hala tuju yang jelas, berstatus parti lokal serta sangat tertarik terhadap pendekatan dan corak kerja ditunjukkan Presidennya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai siri jelajah Wanita Gagasan Rakyat ke seluruh bahagian di Sabah Redonah merupakan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri berkata, beliau ingin mendengar sendiri cadangan aktiviti parti serta aspirasi Ahli Jawatankuasa Wanita di peringkat akar umbi.

“Kita memberi ruang dan peluang kepada AJK Wanita sendiri memberi cadangan serta penambahbaikan terhadap aktiviti dirancang khususnya melibatkan Wanita di pelbagai peringkat bahagian serta cawangan.

“Kita maklum keahlian wanita Gagasan Rakyat mempunyai pengalaman latar belakang politik yang berbeza. Kombinasi ini digunapakai dalam gerak kerja-kerja ke arah Pilihan Raya Negeri akan datang,” jelas Redonah.

Dalam perkembangan sama, dalam siri jelajah wanita tersebut beliau memberi kefahaman terhadap perbezaan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

“Kita mengakui ada kalangan ahli wanita keliru antara apa itu GRS dan PGRS…Ini antara tugas serta peranan kami (wanita) untuk memberi kefahaman bukan sahaja wanita malah kepada seluruh ahli di peringkat akar umbi, “ tambah Redonah.