Kerajaan perlukan kakitangan awam cergas dan sihat beri perkhidmatan berkesan kepada rakyat

KOTA KINABALU: Kakitangan awam negeri digalak meluangkan masa melakukan aktiviti sukan dan bersenam untuk kekal cergas, selain menjaga kesihatan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkesan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kakitangan awam yang sihat dan sentiasa cergas amat penting dalam menggerakkan jentera kerajaan, termasuk menjayakan Halatuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

HajijiMajlis Penutupan Pesta Sukan Muhibah JKM Ke-13 Tahun 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC). Gambar JKM.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada perkhidmatan awam negeri terlibat dalam aktiviti sukan bagi memastikan tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Jelasnya, Jabatan Ketua Menteri (JKM) sebagai organisasi utama yang menerajui pentadbiran negeri memerlukan tenaga kerja yang berkualiti di semua peringkat.

Hajij pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Muhibah JKM Ke-13 Tahun 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC). Gambar JKM.

“Dalam usaha menjayakan agenda Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, kita amat memerlukan penjawat awam yang sihat, cerdas, cekap dan mampu berdaya saing.

“Justeru, saya menggalakkan penjawat awam khususnya warga kerja JKM supaya meluangkan sedikit masa dalam jadual harian untuk bersenam.

“Bukan sahaja untuk cergas malah menghindarkan diri daripada pelbagai penyakit,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Muhibah JKM Ke-13 Tahun 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan dalam kejohanan sukan dwi-tahunan itu yang disertai enam pasukan iaitu Jabatan Ketua Menteri (Perdana), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Sawit Kinabalu.

Hajiji berkata, Pesta Sukan Muhibah JKM adalah medan terbaik rekreasi dan menjadi tempat sesi perkongsian idea serta pendapat dalam kalangan kakitangan awam bagi memantapkan lagi organisasi masing-masing.

Malah katanya, aktiviti sukan juga boleh dijadikan elemen penting dalam kehidupan bagi membina peribadi mulia dan membentuk masyarakat yang sihat, di samping mencungkil bakat dalam kalangan penjawat awam yang boleh dimanfaatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, Pesta Sukan Muhibah JKM yang dimulakan pada 1999 dapat mengeratkan lagi kerjasama, meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kesukanan dalam warga kerja JKM, sekali gus menggalakkan dan membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

Hajiji juga berharap pesta sukan itu dapat mendorong anggota perkhidmatan awam negeri memelihara kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani dengan baik, agar dapat memberi khidmat bakti yang lebih cekap dan produktif.

“Secara peribadi saya berpendapat pesta sukan ini merupakan manifestasi permuafakatan yang harmoni antara kakitangan perkhidmatan awam di bawah JKM yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat dan merealisasikan kehendak serta gagasan Malaysia Madani dan SMJ,” kata Hajiji.