Kaedah 4M diguna pakai untuk perkasakan medium UMNO – Suhaimi

KOTA KINABALU : Biro Penerangan Umno Sabah akan menggunakan kaedah “4M’ iaitu Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya dalam memberi penerangan kepada ahli dan rakyat mengenai dasar dan program parti selain penerangan mengenai pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhami Nasir berkata penggunaan 4M itu dilihat lebih berkesan bagi menghebahkan pelbagai maklumat selain dijadikan medium untuk menangkis segala provokasi tohmahan dan fitnah kepada pemimpin dan parti.

“Dalam hubungan ini UMNO Sabah mengambil pendekatan untuk mengadakan Retret Penerangan UMNO Sabah bagi memberikan kefahaman kepada Ketua-Ketua Penerangan parti empat peringkat seiringan dengan usaha parti untuk memperkasakan Medium Penerangan UMNO,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Retret Penerangan UMNO Sabah di sini malam tadi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr.Shamsul Anuar Nasarah .

Hadir sama, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah Suffian Abd. Karim.

Menurut Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran Retret yang berlangsung selama tiga hari itu sehingga esok diisi dengan pelbagai program antaranya Sesi Townhall Penerangan yang bertajuk “ Kesediaan UMNO Sabah mendepani PRN”.

Ahli panel terdiri Shamsul Anuar, Abdul Rahman Dahlan, Salleh Tun Said dan Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed.

Selain itu, katanya, pengisian lain antaranya penerangan Media Baru termasuklah penulisan kreatif, (Teori dan Pratikal), Suntingan Grafik, Komunikasi Asas Pengucapan Awam dan Komunikasi Bnerkesan dan Sesi Townhall Penerangan “Mendepani Dinamik Politik Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Suhaimi berkata Biro Penerangan parti merupakan barisan hadapan yang perlu tabah, berani, bijaksana dan membantu parti menghadapi serangan pihak lawan dengan pelbagai tomahan dan fitnah kepada pemimpin dan parti.

“Kita yakin dengan menggunakan gaya komunikasi betul, dengan bantuan platform media sosial yang tepat dan berkesan, Penerangan UMNO Sabah akan memberi impak dan hasil positif kepada parti khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Suhaimi berkata komitmen kehadiran Ketua Penerangan empat peringkat dalam retreat kali ini cukup positif dan ini mencerminkan semangat ahli di peringkat bahagian dan cawangan bersedia ke arah Pilihan Raya khususnya PRN Sabah yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Sebagai Ketua Penerangan UMNO, kita bertanggungjawab bagi memastikan peranan Biro Penerangan berperanan dengan baik dan berkesan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara..jadi kita kita perlu terus berjuang memenangkan parti pada PRU dan PRN akan datang.

“Sebagai barisan hadapan parti, kita juga harus mengangkat kembali reputasi UMNO di mata rakyat. Kita harus pulihkan kembalikan kegemilangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menerajui negara, disegani kawan dan lawan,” katanya sambil menambah paling penting kemenangan UMNO/BN pada PRU dan PRN akan datang ini biarlah lebih bermakna.

Beliau menggesa setiap bahagian UMNO mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut sekurang-kurangnya sebulan sekali atau dianjurkan bersama dengan program Juara Rakyat.

Justeru itu, katanya, setiap bulan satu aktiviti dianjurkan kerana ini akan menggerakkan UMNO dari peringkat akar umbi dan program mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka.