Keahlian Gagasan Rakyat original tiada curi keahlian komponen GRS – Ruddy Awah

KOTA KINABALU : Tiada Isu pertindihan dan mencuri ahli dalam kalangan parti kompenan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya di Parlimen Kudat.

Penyelaras GRS Parlimen Kudat, Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata, isu ditimbulkan pihak pembangkang mendakwa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencuri ahli kalangan parti kompenan GRS adalah bohong sekali gus tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, pembangkang hanya cuba merosakkan hubungan baik kalangan parti GRS khususnya di Parlimen Kudat serta Gagasan Rakyat di Bahagian Pitas.

“Kita melihat isu ini sangat remeh-temeh dan tidak betul. Apa yang pasti, parti pembangkang khususnya di Bahagian Pitas semakin lumpuh hanya tunggu masa untuk rebah.

“Kita mengesahkan di sini, hubungan baik antara parti dalam kompenan GRS melibatkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) seperti adik-beradik, sangat erat, mana boleh curi kalangan ahli sesama sendiri,” katanya kepada Sabah News Today, hari ini.

Ruddy merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas berkata, beliau mendengar sendiri pihak pembangkang ‘cemburu’ terhadap jumlah keahlian terkini mencecah 8,000 orang membabitkan 124 cawangan berdaftar.

“Kita lihat hanya dalam tempoh singkat iaitu selama tempoh lima bulan penubuhannya Gagasan Rakyat Pitas berjaya memperoleh pendaftaran ahli yang begitu ramai.

“Mungkin parti pembangkang cemburu kepada Gagasan Rakyat yang konsisten terhadap perjuangan parti lokal serta barisan kepimpinan yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” jelas Ruddy.