Mangsa jenayah siber di Sabah rugi lebih RM100 juta sejak 2020

KOTA KINABALU: Lebih RM100 juta kerugian akibat jenayah siber, termasuk scam yang membabitkan sebanyak 4,686 kes direkodkan di Sabah sejak 2020 hingga September lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajii Noor, berkata jumlah itu adalah berdasarkan statistik yang dikumpul Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Shahelmy Yahya

Katanya, rekod PDRM menunjukkan  kebanyakan kes jenayah siber dialami mangsa ialah telefon scam, ‘love scam’, pinjaman tidak wujud, pelaburan, belian online dan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.

“Daripada 4,687 kes itu, sebanyak 1,069 kes jenayah siber dilaporkan berlaku pada 2020, manakala 1,169 kes pada 2021, diikuti 1,206 kes pada 2022 dan sebanyak 1,243 kes antara Januari hingga September tahun ini.

“Dalam tempoh itu, jenis kesalahan tipu belian online merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,823 kes, diikuti telefon scam sebanyak 1,122 kes, pinjaman tidak wujud sebanyak 817 kes, pelaburan (603 kes), love scam (158 kes) dan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer sebanyak 164 kes,” katanya.

Shahelmy bersama Fahmi pada Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk lr. Shahelmey Yahya.

Hadir sama ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, timbalannya Teo Nie Ching, Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jen (Bersara) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (Bersara) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi Joachim Rajaram.

Hajiji berkata, kes jenayah siber dan kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer di Sabah menyebabkan kerugian RM24.8 juta yang dialami mangsanya pada 2020, diikuti RM25.4 juta pada 2021 dan RM21.7 juta pada tahun lalu, manakala RM28 juta dicatatkan dalam tempoh Januari hingga September lalu.

“Jumlah ini agak membimbangkan, justeru saya menggesa rakyat Sabah khususnya pengguna internet supaya tampil membuat laporan berkaitan insiden scam dan penipuan dalam talian yang dialami mereka.

“Laporan yang dibuat adalah sangat penting bagi membantu pihak berkuasa membuat analisa ‘trend’ penjenayah termasuk ‘scammer’ dan membangunkan langkah pencegahan yang wajar untuk melindungi orang ramai daripada terus menjadi mangsa,” katanya.

Hajiji berkata, menyedari situasi itu, Kerajaan Negeri komited untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan bagi membanteras jenayah siber daripada berleluasa di negeri ini

Tegasnya, pihak perbankan, penguatkuasa undang-undang dan agensi keselamatan perlu terus bekerjasama untuk menangani isu itu dengan melaksanakan undang-undang, polisi dan peraturan baharu yang lebih efektif.

Beliau menambah, kerjasama di peringkat antarabangsa untuk menjalin hubungan bagi perkongsian maklumat juga perlu dilaksanakan, selain melabur dalam teknologi baharu untuk mengesan dan mencegah teknik penipuan dalam talian dengan segera dan berkesan.