Video tuduh ADUN rasuah, serah pada SPRM, yakin rakaman guna AI – Dr Yusof

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika pihak tertentu mempunyai dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, beliau menganggap, mungkin ada pihak mengambil kesempatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) meluas ketika ini dengan mengaitkannya berhubung perkara itu.

“Biarlah mereka viral, sekarang ada AI ini masalah. Tidak payah (nafi), cakap saja biar SPRM yang siasat kalau ada kes.

“Kita jawab banyak, lagi banyak nanti (timbul)… Sekarang ini boleh macam-macam AI,” katanya melalui laporan Sinar Harian semalam.

Yusof merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin berkata, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah baru-baru.

“Jika ada bila-bila masa, saya tiada masalah, (beri kerjasama) ya (saya datang).

“Kita juga mahu perkara tersebut diperjelaskan kerana ketika ini ada pelbagai musuh yang datang.

“Kita jelaskan perkara ini. Sekarang ini kita banyak musuh macam-macam. Itulah, hati-hati juga dalam musim ini, macam-macam orang boleh buat,” jelas Yusof.

Namun Dr Yusof tidak menolak kemungkinan ia adalah salah satu agenda pihak musuh untuk menjatuhkannya memandangkan ketika ini Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang.

“Perkara ini biasalah, kiranya kita kuat, kita stabil, macam-macam caralah orang buat begitu, musuh-musuh kita ni.

“Dalam politik ini banyak musuh kita tidak tahu siapa,” kata Yusof.

Sebelum itu, satu video yang dimuat naik sebuah portal berdurasi 17 saat yang memaparkan rakaman suara perbualan didakwa melibatkan ADUN Sabah dan kontraktor berhubung kegiatan rasuah.

Suara ADUN tersebut didakwa milik Dr Yusof namun setakat ini belum ada kesahihan mengenainya.

Sebuah portal berita baru-baru ini turut mendedahkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sehingga RM4 juta yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.