TAWAU : Polis menahan seorang penyelia kewangan syarikat perladangan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap pelajar praktikal, di sini sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa seorang wanita pelajar pratikal berkenaan.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku di sekitar pejabat syarikat terbabit pada 4 hingga 6 September lalu.
“Mangsa seorang wanita merupakan pelatih industri berusia 23 tahun mendakwa berulang kali menjadi sasaran gangguan seksual daripada suspek.
“Mangsa ditanya beberapa soalan dengan menggunakan perkataan lucah kepada mangsa sehingga menyebabkan dia tidak berasa selesa,” katanya dalam kenyataan hari Ini.
Jasmin berkata, suspek didakwa merendah-rendahkan mangsa selain turut membandingkan mangsa dengan beberapa pelajar praktikal sebelum ini.
“Susulan laporan tersebut, pada 12.10 tengah hari pada Sabtu, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menahan suspek di sekitar bandar.
“Suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun yang sama,” jelas Jasmine.
Menurutnya, Polis memandang serius terhadap menangani kes gangguan seksual di tempat kerja sekali gus akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan adil.