LABUAN : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu memperhebatkan serta memperkasakan syiar Islam agar kekal relevan dalam membangunkan masyarakat Islam di Sabah termasuk Labuan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal mengesahkan bertanding bagi jawatan Yang Di Pertua USIA pada Perhimpunan Agung USIA 7 Disember depan.
Menurutnya, USIA sebagai sebuah pertubuhan Islam mempunyai sejarah panjang dalam mengembangkan syiar Islam perlu lebih berani membuat penambahbaikan.
“Ini bukan sahaja dalam penyebaran dakwah tetapi juga dalam pengurusan dan pentadbiran.
“Niat saya bertanding jawatan Yang Di Pertua USIA selepas mendapat sokongan daripada ahli USIA di peringkat bahagian adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan USIA,” katanya.
Beliau berkata, dengan memperkasakan semula peranan USIA khususnya dalam bidàng dakwah seperti apa pernah dilakukan pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham Tun Sakaran serta Tun Datuk Mustapha.
“Kita berupaya mengemudi USIA sebagai sebuah pertubuhan Islam yang disegani dan dihormati,” katanya.
Yusof merupakan Ahli Parlimen Lahad Datu berkata, antara perkara lain turut diberi keutamaan jika diberi kepercayaan memimpin USIA ialah mewujudkan Pejabat USIA disetiap Bahagian.
“Ini akan memastikan supaya USIA dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada ahlinya.
“Jika terpilih saya bersedia mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan NGO Islam dalam memperluaskan lagi syiar Islam di Sabah,” katanya.
Menurutnya, USIA tidak ada agenda politik atau kepartian, sebaliknya meletakkan keutamaan dalam mengembalikan USIA ke landasan perjuangan asal.
Sementara itu Ketua USIA Bahagian Labuan, Mohd Ali@ Aliman Asmaran Omar Bledram hadir bersama memaklumkan Naib Ketua USIA Bahagian Labuan, Yahya Bakri akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi USIA pusat pada perhimpunan itu nanti.