Salleh Said Keruak diumumkan calon BN DUN Usukan bagi PRN Sabah akan datang – Bung Moktar

KOTA BELUD : Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak diumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengumumkannya semasa berucap merasmikan program Gerak 17 UMNO Sabah di DUN Usukan di sini semalam.

Setakat ini Salleh merupakan Bendahari UMNO Sabah merupakan calon kedua diumumkan, sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed bagi kawasan DUN Tanjung Keramat.

Bung Moktar merupakan Ketua UMNO Sabah berkata, pemilihan Salleh memenuhi kriteria diperlukan sekali gus memenuhi aspirasi rakyat di kawasan diwakilinya.

“Beliau (Salleh) selama ini banyak menaburkan bakti serta memberikan sumbangan besar kepada parti dan rakyat khususnya di kawasan ini.

“Pemilihannya ini dijangka mampu memenuhi kriteria serta syarat yang diperlukan sebagai calon sekali gus beliau merupakan pilihan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, DUN Usukan sebagai kawasan pertama melahirkan UMNO di Sabah melalui Pilihan Raya pada 11 Mei 1991 apabila calon UMNO Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun memenangi kawasan berkenaan.

“Sebagai anak sulung kelahiran  UMNO di Sabah, rakyat Usukan perlu bangkit mengembalikan  momentum tersebut bagi memastikan DUN Usukan akan dapat dipertahankan pada PRN nanti.

“Satu perkara paling penting adalah DUN Tempasuk sebelum ini merupakan kerusi UMNO perlu dikembalikan maruahnya kepada kita sekali gus memastikannya menang pada PRN akan datang,” jelas Bung Moktar.