Gagasan Rakyat mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat kerana yakin dengan perjuangan parti – Dr Yusof

KOTA KINABALU : Biarpun Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masuk tahun kedua tetapi sambutan daripada rakyat begitu menggalakkan atas keyakinan perjuangan parti dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, boleh dikatakan di seluruh Sabah, Gagasan Rakyat ada 73 Bahagian dan satu bahagian di Labuan mendapat sambutan begitu baik daripada rakyat.

“Justeru, saranan Presiden pada hari ini supaya kita jaga parti kita dan mengatur parti itu sebagai landasan perjuangan dan juga menawarkan khidmat kepada rakyat Sabah.

“Pemimpin di bahagian sama ada yang menjadi wakil rakyat atau tidak, hubungan antara pemimpin parti dan orang awam itu harus rapat.

“Kita berkhidmat bukan sahaja kepada ahli-ahli parti tetapi kepada seluruh rakyat hingga ke akar umbi, hingga ke ceruk-ceruk kampung di pedalaman kita mesti dekati untuk menyediakan rakyat satu khidmat yang berbeda dari sebelumnya,” katanya pada Podcast Biro Penerangan Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad diminta mengulas ucapan dasar Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu ahli-ahli parti terus menyantuni rakyat untuk memperkasakan parti dan memperkukuhkan kerjasama antara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada masa sama, katanya, sebab itu dalam rangka Gagasan Rakyat ini ada lagi satu gabungan bersama tujuh parti komponen lain iaitu GRS.

Menurutnya, saranan Presiden Gagasan Rakyat mahu gabungan itu harus mantap dan menjadi blok parti politik yang kuat di Sabah.

“Dan kita berharap semua Wakil Rakyat, Ketua Bahagian sama ada Gagasan Rakyat dan parti komponen lain dalam GRS faham akan intipati ucapan presiden dan bila turun ke bawah ini yang disampaikan.

“Ertinya kalau dia Ketua Bahagian daripada Gagasan Rakyat harus bekerjasama rapat dengan parti komponen lain dalam GRS dan begitu juga dengan Ketua Bahagian parti komponen lain dalam GRS,” katanya.

Dr Yusof berkata, sebagai wakil rakyat juga harus menjaga kawasan masing-masing, misalnya wakil rakyat Gagasan Rakyat mesti menjaga dan bekerjasama dengan ahli-ahli parti komponen GRS yang lain dan begitu juga wakil rakyat parti komponen lain.

“Maknanya kita sebagai blok parti politik, kebersamaan kita dalam urus pentadbiran negeri Sabah. Inilah hasrat Presiden yang juga Ketua Menteri kita bagaimana membawa Sabah ke tahap lebih baik dan menyediakan satu landasan yang berbeda sebelumnya.

“Dan kita tahu ini tidak perlu diajar secara terperinci kerana pemimpin politik dalam GRS dan Gagasan Rakyat terdiri daripada yang sudah berpengalaman dan tahu apa mahu dibuat,” katanya sambil menambah ucapan dasar Presiden cuma memperingatkan dan memperkuatkan lagi untuk bekerja lebih baik dan kuat kerana pada tahun hadapan akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17.