Bahasa Mandarin Penting Mudahkan Komunikasi seharian – Dr Shahril

 KOTA KINABALU : Penguasaan bahasa Mandarin penting bagi memudahkan orang ramai dapat menjalankan urusan secara profesional dalam komunikasi seharian mereka. 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, pada masa ini kursus ini dijalankan Institut Confucius UMS (CI UMS) merupakan satu strategi bagi melatih peserta kursus agar dapat menguasai bahasa berkenaan. 

Katanya, kursus terbuka kepada pelajar serta orang ramai tidak hanya tertakluk kepada mempelajari aspek bahasa malah meliputi aspek lain termasuk pengenalan kepada budaya masyarakat Cina.

“Kursus ini dilaksanakan selama 12 minggu, sebelum ini ia melibatkan penyertaan kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen dikenal pasti mengawal pintu masuk negeri Sabah.

“Kita percaya ia mampu memberi satu kelebihan kepada petugas barisan hadapan untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan khususnya dengan pelancong asing dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin 2024 di Galeri Majlis UMS.

Pada majlis tersebut, seramai 53 orang peserta menamatkan kursus, terdiri daripada kakitangan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Syarikat SBH Kibing Solar, pelajar serta pensyarah UMS.