Kerajaan negeri beri kerjasama kepada SPRM mengaitkan beberapa ADUN rakaman video tular – Hajiji

KOTA  KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan segera termasuk melakukan tangkapan kepada pemberi rasuah didakwa membabitkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan terhadap aduan mengaitkan ADUN di dalam video terbabit.

Katanya, SPRM perlu berlaku adil dengan menjalankan siasatan serta menahan pemberi rasuah selepas dilihat mempunyai niat yang tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan negeri.

“Apabila tidak dapat perkara beginilah akan terkeluar…Oleh itu bagi saya harap pihak berkuasa perlu berlaku adil dengan menjalankan siasatan secara professional termasuk menahan serta menyiasat pemberi rasuah tersebut.

“Kita akan bagi kerjasama baik kepada pihak penguatkuasa SPRM bagi memastikan isu yang ditularkan ini dapat diselesaikan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob bersedia memberi kerjasama kepada SPRM jika pihak tertentu mempunyai dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, beliau menganggap, mungkin ada pihak mengambil kesempatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) meluas ketika ini dengan mengaitkannya berhubung perkara itu.

“Biarlah mereka viral, sekarang ada AI ini masalah. Tidak payah (nafi), cakap saja biar SPRM yang siasat kalau ada kes.

“Kita jawab banyak, lagi banyak nanti (timbul)… Sekarang ini boleh macam-macam AI,” katanya melalui laporan Sinar Harian semalam.

Yusof merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin berkata, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah baru-baru ini.

Namun Dr Yusof tidak menolak kemungkinan ia adalah salah satu agenda pihak musuh untuk menjatuhkannya memandangkan ketika ini Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal menjelang.

Sebelum itu, satu video yang dimuat naik sebuah portal berdurasi 17 saat yang memaparkan rakaman suara perbualan didakwa melibatkan ADUN Sabah dan kontraktor berhubung kegiatan rasuah.

Suara ADUN tersebut didakwa milik Dr Yusof namun setakat ini belum ada kesahihan mengenainya.

Sebuah portal berita baru-baru ini turut mendedahkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sehingga RM4 juta yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.