Bekalan tenaga mampan perkukuh pembangunan sosio-ekonomi Sabah – Hajiji

KIMANIS : Bekalan tenaga mencukupi serta mampan mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah sekali gus memperkukuh pembangunan sosio-ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri komited memperkasakan pengurusan sumber dan pembangunan sektor tenaga di negeri ini menerusi Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Katanya, SE-RAMP 2040 merupakan satu langkah penting bagi memastikan bekalan tenaga mampan, akses yang adil dan menyeluruh, serta kos yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memberikan bekalan elektrik kepada seluruh rakyat Sabah.

“Di bawah pelan itu, Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah ditubuhkan bagi memantau, menyokong, dan memberikan panduan terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif jangka pendek, sederhana, dan panjang yang dirancang.

“MTS dalam mesyuarat keduanya bulan Ogos lalu telah meluluskan beberapa projek kritikal bagi pembangunan penjanaan berkapasiti 700 Megawatt (MW) untuk mengukuhkan Sistem Grid di Sabah.

“Projek Loji Janakuasa 100MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn.Bhd ini adalah antara projek yang diluluskan untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat kita,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, projek ini sudah pasti mampu mengukuhkan lagi sumber dan bekalan elektrik negeri Sabah sekali gus dapat memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Menerusikerjasama diantara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS Gas Berhad, Kimanis Power telah berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah, tunjang kepada pembangunan negeri ini.

“Sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lalu. Justeru, projek itu akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga di negeri ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, PETRONAS sebagai rakan utama Sabah, terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sosio-ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan dan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri.

“Komitmen menyerlahkan usaha PETRONAS memajukan bakat tempatan dengan menyediakan peluang latihan, program peningkatan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk anak-anak Sabah.

“PETRONAS juga menyokong ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi dan pemerkasaan vendor tempatan. Usaha bersepadu ini bukan sahaja memajukan industri minyak dan gas di Sabah, juga meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan”, kata Hajiji.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Kimanis Power atas 15 tahun pencapaian cemerlang dalam industri tenaga di Sabah dan sumbangannya kepada pembangunan negeri ini, berharap lebih banyak inovasi serta kolaborasi antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri di masa akan datang.