UPPM Darau beri sumbangan Hari Natal kepada golongan memerlukan

KOTA KINABALU: Seramai 50 orang terdiri daripada golongan warga emas, uzur, ibu tunggal serta anak-anak yatim Kadazan Dusun Murut (KDM) menerima sumbangan bakul makanan sempena Hari Natal yang bakal tiba.

Bantuan terbabit disampaikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Jumat Idris dalam Program ‘The Season of Giving’ sempena Hari Natal di Kampung Kemberian di sini semalam.

Jumat ketika ditemubual krew Berita RTM Sabah.

Program anjuran anjuran UPPM Darau dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Ketua Kampung Kemberian.

Ketika berucap di majlis itu, Jumat berkata, sumbangan ini adalah acara kelaziman dilakukan setiap tahun bagi memberi kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam menyambut perayaan ini.

Jumat bergambar kenangan bersama penerima sumbangan sempena Hari Natal.

“Setiap tahun kita memilih lokasi yang berlainan bagi memberi peluang kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk beramah mersa dengan penduduk setempat.

“Selain itu program ini juga dapat memberi peluang kepada UPPM melihat sendiri masalah yang dihadapi masyarakat setempat sekali gus menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh penduduk kampung,” katanya.

Jumat berkata, dalam tempoh sama juga penduduk kampung boleh menyalurkan masalah mereka kepada UPPM tanpa perlu menunggu mereka datang ke pejabat.

Pegawai PPM DUN Darau sampaikan sumbangan di majlis itu.

“Pegawai UPPM bersedia pada bila-bila masa untuk datang ke tempat mereka untuk membantu menyalurkan bantuan yang diperlukan penduduk di kampung sekali gus menyelesaikan masalah secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Jumat berkata, selain itu isu pembangunan setempat di peringkat kampung juga akan menjadi agenda keutamaan untuk diselesaikan dalm perancangan jangka masa panjang.

“Semoga sambutan krismas pada tahun ini menjadi wadah perpaduan untuk penduduk Dun Darau sejak beberapa tahun dilanda pandemik COVID-19,” katanya.