Kerajaan pusat perlu salur peruntukkan besar ke Sabah tahun depan – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat diminta menyalurkan peruntukkan yang lebih besar khususnya dalam projek pembangunan infrastuktur di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukkan itu melibatkan kemudahan asas termasuk bekalan air bersih, jalan raya serta elektrik supaya seiring dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

Bung Moktar

Katanya, kerajaan wajar memberi perhatian dalam perkara ini dengan menyalurkan peruntukan lebih besar disamping mengambil kira kedudukan keadaan faktor geografi di negeri ini.

“Isu bekalan kemudahan asas kini menjadi topik hangat diperkatakan di dalam sosial media. Jalan penyelesaian adalah sudah tentu menyalurkan peruntukan yang besar bagi mengatasinya.

“Sehingga kini kerajaan negeri memerlukan kos besar sehingga RM27 bilion untuk memulihkan beberapa kerosakan loji air di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun, di sini baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerajaan negeri mengharapkan bantuan dari kerajaan pusat melalui KPLB untuk disalurkan ke negeri ini.

“Ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia sekali gus memenuhi aspirasi rakyat Sabah dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

“Kita sangat mengaharapkan agar pertemuan ini dapat mengatasi masalah infrastruktur di luar bandar projek luar bandar secara beperingkat-peringkat mengikut keutamaan dalam tempoh terdekat,” katanya.