PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan pendiriannya untuk memastikan Sabah dan Sarawak memperolehi satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.
Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana tuntutan agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat sudah lama tertangguh.
“Pandangan saya keperluan memperolehi satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak sudah lama tertangguh, kerana semasa kita membincangkan penubuhan Malaysia ada beberapa tuntutan daripada Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Ianya jelas dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) supaya komposisi kerusi Dewan Rakyat haruslah memberikan satu pertiga kepada negeri-negeri atau wilayah selain Semenanjung atau Tanah Melayu.
“Ertinya satu pertiga daripada kerusi daripada Sabah, Sarawak dan Singapura dan selepas Singapura keluar, komposisi kerusi Dewan Rakyat itu harus kekal sama, malangnya ianya diubah dan memberi kelebihan kepada Sememanjung sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap, dengan adanya sokongan parti-parti politik daripada Sarawak dan Sabah komposisi kerusi Dewan Rakyat dapat perbetulkan semula.
“Ia sudah tentu memerlukan pindaan dalam Perlembagaan dan pindaan persempadanan pilihan raya.
“Saya difahamkan sudah ada perbincangan diantara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah terkait dengan perkara ini dan saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dibuat untuk kita memastikan 1/3 kerusi Dewan Rakyat itu diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Saya juga menyokong Primer Sarawak dalam hal ini yang partinya telahpun menuntut, partinya telah meluluskan resolusi untuk menuntut satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau yang juga ahli Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindalan Pelaksanaan MA63 berkata, salah satu agenda yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu ialah satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk kedua-dua negeri.
“Saya akan menggunakan platform tersebut untuk membangkitkan pendirian UPKO dan rakyat Sabah terkait dengan keperluan ini.
“Dibawah perundangan negara kita, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap lapan tahun akan mencadangkan persempadanan semula pilihan raya termasuk kawasan-kawasan baharu.
“Kita harus membincangkan keperluan satu pertiga untuk Sabah dan Sarawak itu bermula sekarang dan saya fikir tempoh 2025 itu adalah untuk SPR mencadangkan sempadan pilihan raya yang baru dengan mengambil kira populasu yang bertambah dan hal-hal yang terkait dengan keperluan membuat sempadan pilihan raya yang baru,” katanya.
Ewon berkata, pendirian UPKO satu pertiga kerusi Dewan Rakyat mesti untuk Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak mahu pindaan perlembagaan ini dibuat oleh majoriti ahli Dewan Rakyat daripada Semenanjung sahaja kerana negara ini tanpa Sabah dan Sarawak tidak akan ditubuhkan.
“Kita perlu perbetulkan semula apa yang telah dimulakan pada tahun 1963 yang telah diubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia,” kata Ewon.