LABUAN: Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Wilayah Persekutuan Labuan akan terus berusaha untuk melahirkan lebih ramai atlet silat yang berbakat dan berpotensi untuk digilap seterusnya dijadikan sasaran mewakili negara keperingkat antarabangsa.
Yang Di Pertua PESAKA Labuan, Mohd Khairul Abdul Ghani berkata, setakat ini PESAKA Labuan telah berjaya melahirkan dua atlet yang bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, salah seorang atlet itu ialah Nurnabila @Bell yang akan melapor diri di Kem Kebangsaan untuk sesi latihan untuk Kejohanan Silat Dunia di Singapura pada penghujung tahun ini.
“PESAKA juga telah menghantar 12 pesilat untuk menyertai sesi pemilihan atlet remaja kebangsaan” katanya pada Kejohanan Sukan Silat Usia Dini dan Remaja Tertutup Serta Jemputan Wilayah Persekutuan Labuan 2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, pada Sabu, lepas.
PESAKA Labuan juga katanya telah berjaya melahirkan 30 wasitjuri bertaraf kebangsaan dan dua daripadanya merupakan wasit bertaraf antarabangsa yang terlibat bertugas di Kejohanan Silat Remaja Kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan di Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail yang merasmikan kejohanan dua hari itu berharap PESAKA Labuan bukan sahaja mampu melahirkan atlet yang berjaya tetapi juga berharap mampu menganjurkan Kejohanan Silat yang berimpak tinggi.
Rithuan berkata, Perbadanan Labuan sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada PESAKA Labuan untuk menganjurkan keohanan yang lebih besar dan berimpak tinggi.
Pada majlis itu, Rithuan turut menyerahkan sumbangan kepada pesilat Labuan, Nurnabila yang akan menyertai Kejohanan Silat Dunia di Singapura dan penyerahan bendera Wilayah Persekutuan Labuan kepada 12 atlet Silat yang akan menyertai sesi pemilihan atlet Kejohanan Atlet Silat Remaja Kebangsaan.
Kejohanan yang dianjurkan oleh PESAKA Labuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Labuan, Majlis Sukan Labuan, Jabatan Kesihatan Labuan dan UMNO Bahagian Labuan telah disertai 250 pesilat remaja dan belia.
Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Felix Anthony dan Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.