KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS)bersedia bekerjasama dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta pihak industri kesihatan dalam aspek penyelidikan penyediaan makanan terutamanya bagi pesakit disfagia.
Ketua Program Perkhidmatan Makanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, Dr. Sylvester Mantihal berkata, kerjasama tersebut adalah melibatkan aspek penyediaan makanan yang sihat sesuai dengan keperluan semasa pesakit-pesakit di hospital.
Katanya, pada kunjungan tersebut, FSMP UMS dan HKL membincangkan empat agenda utama yang bakal dilaksanakan bersama.
“Antaranya adalah pembangunan modul dan resepi pesakit disfagia menerusi International Dysphagia Diet Standardisation Initiative (IDDSI).
“Penempatan latihan industri pelajar, latihan bersama kakitangan serta kolaborasi penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sylvester berkata, melalui kerjasama ini juga, kedua-dua entiti akan mendapat manfaat yang mana FSMP dan HKL saling memerlukan kepakaran antara satu sama lain.
Pada majlis menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili Sylvester manakala HKL diwakili Timbalan Pengarah Perubatan 1 HKL, Dr. Shahrum Ismail.
Menurut Sylvester, FSMP UMS serta HKL berharap agar kerjasama itu akan dapat diteruskan serta mengalu-alukan peluang kolaborasi lain pada masa akan datang.
