KOTA KINABALU : Sabah menyambut baik kenaikan peruntukan khas interim kepada RM600 juta pada tahun depan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pengumuman itu dilakukan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, semalam.
Katanya, beliau turut mengalu-alukan kenaikan interim itu sementara menunggu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dilaksana dan diselesaikan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada keperluan pembangunan Sabah dan kuasa kehendak Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan tanggungjawab kepada negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, dan turut dihadiri Hajiji, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa barisan jemaah menteri dari Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Hajiji merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah pun diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia dalam mengurus elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah awal tahun ini serta penurunan kuasa.
“Saya harap semua isu yang belum selesai akan diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.