KUALA LUMPUR: UMNO hari ini mengesahkan dua warkah telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masing-masing bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu.
Menerusi laporan portal UMNO Online, kedua-dua warkah tersebut ditandatangani Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Memetik surat bertarikh 30 Julai, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan warkah tersebut diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah bertujuan mempersembahkan Surat Akuan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat perakuan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelas Ahmad Zahid lagi, pendirian itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.
“Surat-surat Akuan tambahan akan patik persembahkan kemudian tatkala patik diperkenankan untuk menghadap Tuanku,” demikian memetik Ahmad Zahid dalam surat tersebut. Laporan portal Awani online.
Sementara itu, dalam surat bertarikh 4 Ogos, Ahmad Zahid memperincikan 14 nama ahli Parlimen UMNO termasuk beliau, yang telah menandatangani Surat Akuan penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
Mereka antaranya Datuk Seri Najib Razak (ahli Parlimen Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) serta Datuk Azalina Othman Said (Pangerang).
Selain itu, turut menandatangani Surat Akuan tersebut adalah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Datuk Nizar Zakaria (Parit); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); serta Ramli Mohd Nor (Cameron Highland).
Tiga lagi ahli Parlimen masing-masing Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) serta Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).
Setakat surat tersebut diwarkahkan, Ahmad Zahid berkata 14 ahli Parlimen berkenaan tidak menarik kembali Surat Akuan mereka.