PDRM diarah siasat dakwaan mesej berbaur rasuah

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diarahkan menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menerima mesej berunsur rasuah melalui aplikasi WhatsApp.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata selain merujuk laporan polis itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh pihak terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis yang palsu dan fitnah,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa Ahli Parlimen DAP mendakwa menerima mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan menawarkan dua kekosongan jawatan menteri.

Antara yang mendakwa menerima mesej itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii.

Dua jawatan menteri Kabinet setakat ini kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad.