KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi kebenaran sementara kepada beberapa surau terpilih bagi melaksanakan solat Jumaat pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, berkata kebenaran terbabit diberikan kepada jawatankuasa di beberapa kawasan yang mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selepas mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia adalah alternatif bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan solat Jumaat disebabkan jumlah jemaah yang terhad bagi mengekang penularan wabak.
“Kita menyambut baik saranan dua dos vaksin bagi membenarkan solat jemaah di masjid.
“Oleh itu, melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah, JHEAINS dan juga Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), kita mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah sekiranya ada kelonggaran yang dapat diberikan dari segi jumlah jemaah di masjid dan surau.
“Namun begitu, ia masih tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2021M di Masjid Negeri, laporan Berita Harian malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun hijrah yang diadakan di seluruh Sabah diharapkan dapat mengukuhkan kekuatan daripada sudut kesabaran, ketabahan dan muafakat bersama dalam melandaikan lekuk COVID-19 di negeri ini.