PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berjumpa dengan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan mereka ditawarkan rasuah dan jawatan supaya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan tetapi sehingga kini tidak dapat dipastikan identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Ahli Parlimen terbabit.
“Bagaimanapun, SPRM memberi jaminan akan terus menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan rasmi portal FB SPRM hari ini.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen DAP mendakwa menerima mesej daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan menawarkan dua kekosongan jawatan menteri.
Antara yang mendakwa menerima mesej itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii.
Kekosongan dua menteri Kabinet setakat ini susulan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad.
Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Selasa lalu, manakala Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dan Ketua Wanita UMNO, meletakkan jawatan pada Jumaat.
Mereka membuat keputusan itu selepas mengambil kira pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sebulat suara menarik sokongan parti itu daripada kerajaan PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.