UMNO perlu terus kukuh, relevan perjuang nasib rakyat, kata Mohd Nazri

SIPITANG: Ahli UMNO diseru terus memperkukuhkan perpaduan dan merapatkan saf perjuangan bagi memastikan parti itu kekal relevan serta terus menjadi wadah membela nasib rakyat dan negara.

Ketua Cawangan UMNO Kampong Sabandar Lanting, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, sambutan ulang tahun penubuhan UMNO ke-80 perlu dijadikan medan memperbaharui semangat perjuangan, kesetiaan dan iltizam dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata, sepanjang lapan dekad penubuhannya sejak 11 Mei 1946, UMNO telah melalui pelbagai cabaran politik namun tetap berdiri kukuh hasil kesetiaan ahli dan semangat perjuangan parti.

“UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi wadah perjuangan yang lahir daripada suara rakyat demi mempertahankan maruah bangsa dan kestabilan negara.

“Dalam menghadapi cabaran semasa, seluruh ahli perlu mengetepikan perbezaan dan terus bersatu demi memperkukuhkan parti serta memastikan perjuangan rakyat terus terbela,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun penubuhan UMNO ke-80 hari ini.

Mohd Nazri yang juga bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah berkata, generasi muda perlu terus diperkasakan sebagai pelapis kepimpinan parti supaya UMNO kekal relevan dengan perubahan landskap politik semasa.

Katanya, golongan muda perlu diberi ruang dan peluang untuk bersama memimpin perjuangan parti demi memastikan kesinambungan UMNO pada masa depan.

“Semangat perjuangan yang diwarisi sejak penubuhan parti perlu terus dipertahankan agar UMNO kekal gagah dan dihormati rakyat,” katanya.