KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook mempersoalkan cadangan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam untuk meminjam dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih sistem paip air dan pembentungan di Sabah.
Menurut beliau, Sabah tidak sepatutnya terus bergantung kepada pinjaman sedangkan tuntutan hak 40% hasil negeri masih belum dibayar sepenuhnya oleh kerajaan pusat.
Tham berkata rakyat Sabah kini berdepan pelbagai masalah asas termasuk gangguan bekalan air, tekanan rendah, paip pecah, sekolah daif dan banjir kilat akibat kelemahan penyelenggaraan infrastruktur.
“Persoalannya, mengapa perlu meminjam daripada Persekutuan sedangkan hak Sabah sendiri masih belum ditunaikan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa ADUN Kapayan sebelum ini telah mengemukakan usul di DUN Sabah supaya Kerajaan Persekutuan membayar tuntutan 40% hasil Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2025 dalam tempoh 60 hari.
Menurut Tham, kerajaan negeri perlu lebih tegas mempertahankan hak Sabah berbanding mencadangkan pinjaman yang akhirnya akan ditanggung rakyat negeri itu.
