KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) jika diberikan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi PEJUANG itu berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah berkaitan COVID-19 daripada bermain politik.
“Malah, jika saya terbabit dengan cara apa sekali pun, saya sedia letak jawatan dalam PEJUANG,” katanya dalam Program ‘Talk Show Tonight’ yang dikendalikan selebriti, Harith Iskandar, dalam laporan Berita Harian hari ini.
Diminta mengulas lanjut mengenai komitmennya itu, Dr Mahathir berkata, beliau mahu memberikan khidmat sepenuh masa jika diminta berbuat demikian.
“Saya akan memberikan sepenuh usaha untuk menyelesaikan masalah COVID-19 secara sepenuh masa.
“Saya tidak perlu berada dalam PEJUANG. PEJUANG akan diteruskan, tetapi saya mahu fokus kepada perkara ini.
“Memang akan ada cabaran dalam PEJUANG tetapi semuanya sudah dikendalikan dan apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan objektif parti dibawa oleh semua ahlinya,” katanya.
Dr Mahathir turut mendedahkan beliau bersetuju untuk bertemu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas menerima panggilan daripada Menteri Penyelaras PPN itu.
“Beliau (Tengku Zafrul) mahu tahu apa yang difikirkan saya ketika saya mengemukakan idea yang kita patut tubuhkan Majlis Pemulihan Negara.
“Sekarang, mereka (kerajaan) mempunyai ‘majlis’ yang sama. Saya rasa mereka mahu tahu apa pelan saya dan minta mahu jumpa saya.
“Saya setuju dan dia (Tengku Zafrul) bertanya bagaimana rancangan saya untuk lakukan sesuatu mengenai peningkatan kes COVID-19.
Sekiranya saya tidak boleh lakukan, sekurang-kurangnya seseorang akan melakukannya. Jadi, saya jawab banyak soalan bagaimana menangani SOP dan vaksin.
“Apa yang dia tanya, saya jawab secara jujur apa idea saya dan dia tulis dalam bukunya,” katanya.
Ditanya sama ada ditawarkan sebarang peranan dalam PPN, Dr Mahathir berkata, tiada sebarang tawaran diberikan.
“Tidak. Dia (Tengku Zafrul) memberikan saya al-Quran sebagai hadiah. Itu sangat baik. Tiada pelawaan untuk menyertai (PPN), dia cuma tanya saya apa yang perlu dilakukan.
Mengulas lanjut mengenai parti PEJUANG, katanya, parti itu baharu saja didaftarkan secara rasmi dan perkara itu yang membelenggu parti sudah pun selesai.
“Dengan ini, PEJUANG adalah sebuah parti politik yang sah. Suatu hari nanti jika kita akan adakan pilihan raya, PEJUANG akan bertanding.
“Apa yang penting sekarang ialah kita sudah berdaftar. Jadi, masalah itu selesai,” katanya
Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan pada masa ini beliau tidak fokus pada PEJUANG, tetapi fokus kepada situasi semasa COVID-19
“Sekarang kami tidak buat apa-apa mengenai PEJUANG. Kami tidak cuba untuk jadi Perdana Menteri atau menggulingkan kerajaan,” katanya.
Beliau menjelaskan partinya lebih berminat jika kerajaan menubuhkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
“Tun Razak yang dilantik Tunku Abdul Rahman ketika itu menyelesaikan masalah, diberi kuasa penuh. Saya ingin berkhidmat kepada usaha menyelesaikan masalah tanpa bermain politik,” katanya.