COVID-19: Jangkitan di Parlimen terkawal, persidangan ikut jadual

KUALA LUMPUR: Penularan jangkitan COVID-19 di bangunan Parlimen di sini, berada dalam keadaan terkawal, selain diyakini tidak akan menjejaskan perjalanan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang dijadual berlangsung akhir bulan ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata ia berdasarkan laporan harian dimaklumkan Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Hayati Awang, sebentar tadi.

Difahamkan, jangkitan itu membabitkan ramai pengawal keselamatan yang setakat ini lebih 10 orang mengalami gejala seperti batuk dan sakit tekak.

“Keadaan ini tidak akan menjejaskan perjalanan Mesyuarat Khas Parlimen selain keadaan di sini, semuanya terkawal dan berada di bawah kendalian pusat kesihatan daerah, Kementerian Kesihatan.

“Mereka (kes positif COVID-19 dan kontak rapat) kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing,” katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam muat naik ringkas di Facebook, meminta supaya Mesyuarat Khas Parlimen tetap diadakan, selain Parlimen perlu mengguna pakai protokol sama ketika mengendalikan kes COVID-19.

“Di kementerian juga dari semasa ke semasa akan ada kes positif (COVID-19). Pegawai positif dirawat, kontak rapat dikuarantin, dan kementerian tetap berjalan.

“Prinsip sama perlu diguna pakai untuk Parlimen. Banyak perkara perlu dibahas, dipertimbang dan diputuskan. Ini tidak patut dijadikan alasan untuk tangguh sidang pada 26 Julai ini,” katanya.