Pokok tumbang, kerosakan harta benda, akibat ribut di Labuan

LABUAN:  Ribut petir melanda Labuan pada semalam sehingga awal pagi ini,  mengakibatkan pokok tumbang serta kerosakan pada rumah dan kabel elektrik.

Bagaimanapun tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran kuning (berjaga-jaga) kategori satu untuk enam kawasan termasuk Labuan, Sabah dan Sarawak daripada 13 Julai lepas, yang meramalkan hujan lebat dan laut bergelora.

Pengarah MetMalaysia Labuan Norasmawati Shahlal memberitahu Bernama hujan lebat yang berterusan adalah disebabkan oleh pertukaran angin dalam kawasan Labuan, barat Sabah dan kawasan perairannya.

Katanya cuaca buruk dijangka berterusan hari ini.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan menerima 10 hingga 20 panggilan kecemasan.

Jurucakap jabatan itu berkata ribut telah menyebabkan kerosakan pada beberapa buah rumah di Kampung Air Patau-Patau 2 dan Kampung Pohon Batu.

Yussof Mohamad, 54, berkata rumahnya di Patau-Patau 2 rosak teruk apabila atap rumah diterbangkan angin kuat.

Ketua Kampung Pohon Batu Haryadi Omar pula berkata ribut berkenaan menumbangkan pokok-pokok dan dahan-dahan berat di atas jalan utama kampung itu dan sebuah rumah turut rosak ditimpa pokok tumbang.

– – BERNAMA