Lokman didapati bersalah menghina mahkamah

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas dakwaan menghina mahkamah kerana mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin menjurus kepada intimidasi dan ancaman.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari 2020, Sequerah menolak permohonan Lokman untuk mengenepikan kebenaran diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy, yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi tempoh dua tahun menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada 29 Februari 2020, memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Tommy mendakwa pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Tommy berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.