Syarikat didenda RM20,300 gagal patuhi award tribunal

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat didenda RM20,300 selepas mengaku bersalah kerana terus gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), walaupun sebelum ini telah disabitkan atas kesalahan sama.

Alex Contractor Sdn. Bhd. didakwa mengikut Seksyen 117(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 selepas gagal melaksanakan award tribunal yang mengarahkannya membayar RM50,000 kepada pihak yang membuat tuntutan.

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman denda RM20,300 atau enam minggu penjara jika gagal membayar. Syarikat itu bagaimanapun telah menjelaskan denda berkenaan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, tindakan pendakwaan dibuat selepas syarikat berkenaan masih ingkar mematuhi award tribunal selama 203 hari walaupun telah disabitkan di bawah Seksyen 117(1) sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan itu memberi mesej jelas bahawa kegagalan mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

KPDN Sabah turut menggesa orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kepenggunaan melalui saluran rasmi yang disediakan kementerian.