Triti Laut Sulawesi tak libat Ambalat – Mohamad Alamin

PUTRAJAYA: Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat tetapi hanya membabitkan sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi.

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata setakat ini belum ada runding apa kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat atau 200 batu nautika kea tas atau apa yang dikatakan sebagai zon ekonomi eksklusif (ZEE). Tidak dirundingi dan belum dirundingi.

Mohamad berkata demikian susulan kenyataan Adun Tungku, Assaffal Alian, pada DUN Sabah 10 Ogos lepas yang mendakwa kononnya Malaysia menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.

Wisma Putra dalam penjelasan berhubung Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun lepas di Putrajaya sempena lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia memaklumkan triti itu tidak melibatkan persempadanan maritim di ZEE dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.

“Dalam erti kata lain, triti tersebut tidak melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Jun.

Mohamad berkata, setiap keputusan yang dibuat berkaitan soal triti maritim adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982.

“(Ia juga melibatkan) pakar antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan penglibatan kerajaan negeri Sabah. Tidak sekalipun sentuh soal Ambalat…jauh lagi kawasan itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sabah komited mempertahankan kedaulatan negara serta perairan Sabah.

Mohamad menggesa Assafal segera memohon maaf atas kenyataannya mengenai Ambalat, yang disifatkan Mohamad sebagai mengelirukan masyarakat dan berunsur fitnah.