Tingkatkan Jumlah Kakitangan PANTAS, Selesaikan Isu Penyukatan Tanah – Madius

KIULU : Kerajaan negeri digesa supaya menambah kakitangan untuk menjalankan operasi Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, setakat ini hanya 60 orang iaitu terdiri daripada 12 pasukan dengan lima orang anggota satu pasukan) kini hanya lapan pasukan ataupun tinggal hanya 40 orang.

Katanya, kakitangan yang terlibat dengan dokumentasi yang dulunya lapan orang kini hanya tinggal tiga orang.

“Akibat kekurangan kakitangan ini, peruntukan disalurkan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta ataupun RM200 juta setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu dari tahun 2021-2025 tidak tercapai.

“Berdasarkan sumber JTU, pencapaian perbelanjaan peruntukan; hanya RM68 juta (iaitu 20 juta Tahun 2021; RM6.97 juta (2022); RM10 juta (2023); RM20 juta (2024) dan RM12 juta (2025) dan tidak mencapai RM100 juta iaitu ada lagi RM31 juta yang belum dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Madius berkata, beliau sentiasa bersuara di Dewan Rakyat,  Parlimen Malaysia agar peruntukan dapat ditambah untuk memastikan agar tanah anak Negeri yang masih belum bergeran dapat dikeluarkan geran.

“Namun jika JTU tidak berkeupayaan untuk melaksanakan, maka sia-sialah perjuangan kita.

“Secara keseluruhan sudah tentu rakyat Sabah berterima kasih kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas pelaksanaan Program PANTAS ini,” jelas Madius.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Program PANTAS pada tahun 2011 sehingga tahun 2025, seramai 84,614 pemilik tanah hak tanah adat di seluruh Sabah dengan keluasan keseluruhan seluas 484,025,451 ekar memperoleh manfaat.