PRN Sabah: GRS Kemungkinan Besar Kerjasama Dengan PH Tanpa BN – Masidi

PITAS : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi gambaran kemungkinan besar bekerjasama Pakatan Harapan (PH) hadapi PRN Sabah tanpa Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu belum ditetapkan sehingga Mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan pada Julai ini.

Katanya, GRS berkongsi pendirian sama seperti BN yang sebelum ini secara jelas menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan gabungan itu dalam PRN17.

“Keputusan muktamad belum dibuat sehingga kami mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi untuk memutuskannya. Namun begitu, saya percaya presiden telah bertemu dengan semua presiden parti komponen GRS.

“Saya juga yakin beliau telah bertemu secara tidak rasmi dengan kepimpinan PH. Selepas bertemu dan mendapatkan maklum balas daripada semua ahli serta parti-parti sahabat kami, barulah keputusan dibuat sama ada mahu bergerak sendiri atau bekerjasama,” katanya menurut laporan Utusan Borneo hari ini.

Masidi berkata, jika beliau tidak silap, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor beberapa kali menekankan yang beliau mahu gabungan PH-GRS untuk menghadapi pilihan raya.

“Kepimpinan BN/UMNO Sabah sudah banyak kali menyatakan yang mereka tidak mahu bekerjasama dengan GRS dan kami juga merasakan pendirian yang sama.

“Itulah hakikatnya dalam politik. Ahli dan pemimpin GRS juga beberapa kali menyatakan mereka lebih selesa dengan PH, tertakluk kepada agihan dan pembahagian kerusi.

“Mereka mendapati agak sukar untuk bekerjasama dengan BN atas sebab-sebab yang telah dinyatakan banyak kali sebelum ini,” katanya.