Parti WARISAN Diingatkan Jangan Campur Urusan Pentadbiran Negeri –Jerry

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri berkaitan isu siasatan rasuah yang masih berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara.

Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Jerry Ambuting @ Mohd Said berkata, ini susulan desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Justin Wong menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memecat Speaker DUN dan beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dikaitkan dalam siasatan berkaitan skandal lesen cari gali mineral.

Berkata, tindakan Wong yang mewakili Parti Warisan disifatkan tidak bertanggungjawab kerana cuba menekan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan pentadbiran berdasarkan siasatan yang belum menghasilkan sebarang pertuduhan rasmi di mahkamah.

“Kita mempunyai sistem perundangan yang sah dan jelas. Kuasa mendakwa bukan terletak di tangan mana-mana parti politik pembangkang, tetapi di bawah budi bicara Peguam Negara setelah menerima kertas siasatan dari SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jerry menegaskan bahawa mana-mana pihak yang menghormati undang-undang seharusnya menunggu proses perundangan berjalan tanpa campur tangan politik.

“Apa yang dilakukan oleh Parti Warisan ini jelas menunjukkan cubaan untuk menggugat kestabilan pentadbiran negeri melalui tekanan persepsi dan mainan politik. Ini adalah tindakan oportunis dan tidak wajar,” katanya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Wong mendakwa Ketua Menteri dan beberapa ADUN negeri telah terlalu lama berdiam diri berhubung isu berkenaan, selain mendesak supaya mereka dipecat segera bagi menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah.

Namun, Jerry berkata, gesaan sedemikian hanya mencerminkan keghairahan politik dan tidak berpaksikan kepada prinsip keadilan serta proses undang-undang.

“Jangan hukum sesiapa hanya berdasarkan siasatan awal atau bukti yang belum diuji di mahkamah. Jika ada asas yang kukuh, biar sistem kehakiman yang menentukan – bukan parti pembangkang,” tegas beliau.

Jerry turut mengingatkan semua pihak agar tidak memperalatkan isu siasatan SPRM sebagai alat politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sebaliknya memberi ruang kepada institusi keadilan menjalankan tanggungjawab tanpa gangguan atau desakan luar.

“Rakyat Sabah berhak mendapat pentadbiran yang stabil dan berintegriti. Campur tangan politik yang tidak bertanggungjawab hanya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap proses keadilan dan tadbir urus negeri,” katanya.

SPRM sebelum ini mengesahkan bahawa kertas siasatan berkaitan kes berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, namun tiada pertuduhan dikenakan setakat ini.