KOTA KINABALU: Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika membuat pengumuman secara sengaja dilihat melanggar semangat Perlembagaan serta undang – undang imigresen negeri Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan (AMT), Azhar Matussin, berkata beliau menyokong kenyataan media Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini bahawa apa yang diumumkan serta disokong Menteri itu bukan sahaja mengundang ketakutan malah akan wujud ketidaktentuan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Katanya, kenyataan itu seolah-olah dilihat secara sengaja melanggar semangat Perlembagaan dan undang-undang imigresen di Sabah.
“Kita beranggapan cadangan itu bercanggah norma serta kepentingan rakyat Malaysia tulen yang patuh kepada undang-undang di negara ini.
“Kerajaan sepatutnya menguatkuasakan peraturan ketat membabitkan akta imigresen serta undang-undang lain, sekali gus jangan membuat sebarang tindakan secara melulu,” katanya.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, berkata meskipun Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor membuat kenyataan media bahawa tiada keputusan dibuat berhubung “kad warga asing”.
“Namun pengumuman Hamzah Zainuddin ini sudah menjadi topik serta isu utama yang diperbualkan oleh seluruh lapisan rakyat di negeri ini.
“Kita ingin tanya beberapa NGO yang pada suatu ketika dulu membantah pengenalan kad pengenalan pendatang asing yang diperkenalkan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin….mengapa seolah-olah bisu serta tidak bersuara membantah dengan mengadakan protes seperti dahulu. Adakah mereka merelakan kenyataan Hamzah Zainuddin ini,” katanya.
Azhar berkata negara mempunyai undang-undang imigresen yang tidak membenarkan rakyat asing masuk atau berada di negara ini tanpa dokumen sah imigresen, khasnya pasport sah sekali gus mereka yang ditangkap tanpa dokumen sah mesti diusir dalam tempoh segera.