JOHOR: PilihanRaya Negeri (PRN) Johor sangat penting untuk memulihkan imej UMNO serta maruah Melayu yang lahir di Johor Bahru.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor bagi memberikan isyarat kebangkitan semula rakyat serta sebagai parti mengungguli pentadbiran negara di masa depan.
“Rakyat sudah merasa dibawah pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN). Kita melihat kegagalan sebuah kerajaan tidak dapat menunaikan manifesto yang dijanjikan mereka.
“Apa yang terbukti mereka 100 peratus gagal membangunkan negara sehingga ekonomi semakin merundum sekali gus masalah kesejahteraan rakyat terabai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra BN Sabah bersama BN Tebrau di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata PRN Johor penting untuk mendapatkan mandat baharu bagi membolehkan rakyat membuat pilihan kerajaan mentadbir negeri mereka.
“Kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor kali ini akan beri mesej serta isyarat terhadap keupayaan parti untuk menghadapi PRU ke-15 nanti,” katanya.
Bung Moktar berkata untuk menang jentera parti perlu berkerja keras sekali gus bergerak seiring bersama parti kompnen untuk mendekati pengundi semasa PRN Johor nanti.