Tiga lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika pasang panel solar

RANAU : Tiga pekerja kontrak pemasangan panel solar maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Pengolong Penguasa Ridwan Mohd Taib berkata, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, kesemua mangsa hanya dikenali sebagai Wong, 54, manakala Salleh, 34, serta Gimbal, 25 tahun.

“Sorang lagi rakan mangsa dikenal pasti tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pada jam 10.30 pagi ini.

“Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat seterusnya kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ridwan berkata, Bomba menerima laporan kecemasan pada jam 10.46 pagi tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Mastin Suli.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.03 tengahari tadi,” jelas Ridwan.