“Video tular tuduh bersubahat menentang Hajiji berniat jahat,” kata Jeffrey

KOTA KINABALU : Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), kekal memberikan sokongan penuh terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sejak 2020 sekali gus tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ketika ini berlegar pelbagai tuduhan palsu, mengelirukan, bermotifkan politik hanya bertujuan memecahbelahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN)

Katanya, beberapa tangkap layar skrin dirujuk 1 November lalu menampilkan sebahagian perbualan dipetik di luar konteks sekali gus dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.

“Tambahan pula, tuduhan ini nampaknya disusun untuk seiring dengan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran pada masa sesuai. Saya tetap komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik, dan pembangunan berterusan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, sebarang  percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin dilihat tidak akan berjaya.

“Saya menyeru orang ramai supaya berwaspada terhadap maklumat yang salah serta tidak terpedaya dengan tuduhan berniat jahat bertujuan menggugat kestabilan kerajaan negeri.

“Saya akan terus fokus untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan integriti dan ketelusan,” jelas Jeffrey.