Kerajaan negeri sedia bantuan perkasa peranan wanita – Nizam

TAWAU : Kerajaan negeri komited memperkasakan peranan wanita dalam bidang usahawan menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan disediakan setiap tahun.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata belanjawan Sabah yang dibentangkan bulan lepas turut memberi peruntukan untuk usahawan termasuk golongan wanita.

Katanya, kerajaan Sabah melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukan sebanyak RM11.6 juta bagi Program Kredit Mikro kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya golongan wanita.

Nizam merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Kurnia Jaya, di sini, semalam.

“Pada tahun depan, YUM menyasarkan pengeluaran pinjaman berjumlah RM77.39 juta dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 12,000 peniaga.

“Melalui peruntukan itu, kerajaan Sabah dilihat sangat menghargai golongan wanita yang mahu terlibat dalam bidang perniagaan IKS,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Kurnia Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, melalui bantuan-bantuan seperti pinjaman mikro yang disediakan kerajaan negeri ini dapat melahirkan usahawan wanita yang berjaya, sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan keluarga.

Nizam merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Kurnia Jaya, di sini, semalam.

“Selain itu, buat julung kalinya juga kerajaan Sabah menyediakan peruntukan bantuan ‘one off’ sebanyak RM5,000 kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan tahun depan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, Nizam menzahirkan penghargaan kepada AIM kerana berjaya melahirkan ramai usahawan wanita yang berjaya khususnya di daerah ini.

Katanya, AIM adalah agensi yang sentiasa berusaha keras bagi memastikan semua pelanggannya berjaya dalam perniagaan mereka masing-masing.

“Difahamkan Sahabat AIM Kurnia Jaya antara yang terbaik kerana berjaya melunaskan 100 peratus hutang pinjaman dan ini menunjukkan perniagaan mereka semakin berkembang maju.

“Saya juga mengucapkan syabas kepada semua Sahabat AIM Blok Kurnia Jaya kerana meneruskan kecemerlangan dan bertanggungjawab terhadap pinjaman mereka.

“Justeru, sebagai pemimpin di daerah ini akan sentiasa menyokong setiap program yang dilakukan bagi meningkatkan mutu keusahawanan AIM terutamanya di kawasan apas,” katanya.