SEMPORNA : Seorang lelaki warga China dipercayai terjun ke laut ditemukan lemas, di sekitar perairan Pulau Mabul, Semporna di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11.33 pagi.
“Bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dengan bantuan penyelam dari pusat peranginan berhampiran telah membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa akhirnya ditemukan berhampiran lokasi dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Sabri berkata, ketika
ditemukan mangsa masih memakai beg galas (back pack) warna kelabu mengandungi tiga batu bata.
“Polis membuka kertas siasatan yang diklasifikasi kejadian ini sebagai laporan kematian mengejut.
“Proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekirannya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa,” jelas Mohd Sabri.
Menurutnya, polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan segera menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Ali Amat di talian 013-2120852atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.
“Orang ramai juga boleh tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran,” kata Mohd Sabri.