KOTA KINABALU : Parti Maju Sabah (SAPP) secara rasminya menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, keputusan ini dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu.
Katanya, ibu pejabat PN telah pun dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan ini pada bulan lepas.
“Jelas kelihatan bahawa PN ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, satu pendirian yang bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang selama ini menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya ditandingi oleh parti-parti tempatan Sabah.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa PRN bagi DUN kekal dibawah bidang kuasa parti-parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti-parti yang berpusat di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Yong berkata, desakan PN untuk meletakkan calon daripada parti-parti Malaya dalam PRN secara langsung sangat bertentangan dengan prinsip asas ini.
“SAPP cadangkan GRS bertanding 73 kerusi DUN. Sebenarnya, salah satu usul utama yang telah kami kemukakan kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dipertimbangkan ialah autonomi Sabah, yakni GRS harus meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN.
“Ini penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati,” katanya.