Suspek dadah diburu polis dipercayai lari ke Sarawak

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes pengedaran dadah di ibu negeri selepas dipercayai melarikan diri ke Sarawak.

Suspek dikenali sebagai Eric Leon Frankey, 27, yang beralamat terakhir di Taman Sri Kepayan dan kini dikehendaki bagi membantu siasatan kes dadah di Penampang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah kini bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak bagi mengesan suspek.

“Lelaki berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Sabah.

“Kenderaan yang dipercayai digunakan suspek ditemui di Lawas pada 12 Mei lalu dan usaha mengesannya sedang dipergiatkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek masih bergerak aktif bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi JSJN Sabah atau mana-mana balai polis berhampiran.