UMS, PMG Healthcare perkasa kesihatan komuniti

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan PMG Healthcare Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pemakanan, penyelidikan kesihatan dan pembangunan komuniti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama itu berasaskan tiga teras utama iaitu latihan industri, penyelidikan bersama dan pelaksanaan program komuniti yang berimpak tinggi.

Beliau berkata, pemeteraian MoU berkenaan membuktikan keyakinan sektor industri terhadap kepakaran UMS dalam bidang pemakanan dan kesihatan komuniti.

Menurutnya, pelajar Program Pemakanan UMS bakal menerima manfaat menerusi peluang latihan industri di PMG Healthcare selain berpeluang menyertai penyelidikan berkaitan keberkesanan suplemen serta intervensi diet untuk pesakit kronik.

Kerjasama selama tiga tahun itu turut melibatkan seminar profesional, program pembangunan bakat, lawatan industri dan program tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada masyarakat.