Keluarga James Kindayas terima rumah baharu anggap hadiah sempena Hari Natal

KUNDASANG : Sambutan Hari Natal membawa sinar bahagia kepada seorang buruh binaan dan keluarga sebagai penerima Rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR) Sabah Electricity.

James Kindayas, 45 tahun dan isteri serta empat orang anak sebelum ini tinggal di rumah kurang selesa kini dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik di rumah sendiri di Kampung Waag, Kundasang.

Kunci rumah diserahkan kepadanya pada 8 Disember lalu Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Mohd Yaakob Jaafar.

Bantuan Mesra Rakyat (BMR) merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Sabah Electricity di mana penerima akan diperuntukkan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tandas dengan kos pembinaan sebanyak RM75,000.

Sebanyak tujuh rumah dibina pada tahun ini membabitkan di daerah Tambunan, Tuaran, Ranau, Kundasang, Kinabatangan, Tawau dan Kimanis.

Mohd Yaakob berkata projek BMR ini melibatkan kerja-kerja untuk membaiki, membina baharu, membiayai pembelian rumah kediaman untuk golongan yang memerlukan bantuan, termasuk OKU, ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin berstatus Asnaf.

SESB melancarkan projek bantuan perumahan ini pada 2020 untuk membina rumah kediaman baharu bagi golongan memerlukan dan asnaf, dengan tujuan antaranya, bagi menyatakan keprihatinan SESB terhadap golongan yang memerlukan.